Wednesday, December 14, 2011

Topik 6 Hubungan Etnik

MEMAHAMI PERBEZAAN ETNIK
Bidang hubungan etnik mengkaji tingkah laku dan interaksi sosial antara
masyarakat yang mempunyai perbezaan dari segi fizikal dan budaya. Apabila
masyarakat berlainan budaya bertembung, maka sudah tentulah timbul masalah
dari segi interaksi sosial antara mereka kerana masing-masing mempunyai
amalan budaya yang berlainan. Kajian hubungan etnik juga melihat bagaimana persekitaran sosial dan budaya memainkan peranan penting dalam
mempengaruhi interaksi tersebut, sama ada hubungan itu penuh dengan
harmoni atau sebaliknya. Dengan memahami selok belok hubungan etnik, kita
mungkin dapat menyelesaikan masalah-masalah seperti yang dinyatakan di atas.
Persoalannya ialah bagaimanakah anda menyedari bahawa anda adalah orang
Melayu, Cina atau India? Bagaimanakah anda berkelakuan apabila bergaul
dengan orang yang berbeza dari segi etnik dengan anda?

RAS DAN KUMPULAN ETNIK

Apakah perbezaan antara „ras‰ dan „etnik‰? Umumnya istilah ras (daripada
istilah Inggeris race) merujuk kepada ciri-ciri fizikal dan biologi yang dimiliki
oleh sesuatu kumpulan manusia, sementara etnik (daripada istilah Inggeris
ethnic) merujuk kepada ciri-ciri budaya yang dimiliki oleh sesuatu kumpulan
atau masyarakat. Perkara penting yang harus diingati ialah ras adalah sesuatu
yang telah ditentukan oleh faktor keturunan dan biologi, sementara etnik adalah
satu bentuk persepsi, sama ada oleh diri kita sendiri atau oleh orang lain
terhadap kita. Misalnya, kalau kita dilahirkan dengan rupa paras Melayu, maka
agak sukar untuk kita mengubah rupa paras tersebut menjadi seolah-olah seperti
orang keturunan Inggeris. Walaubagaimanapun, ada juga orang yang mencuba
untuk mengubah fitrah mereka (sila rujuk Rajah 6.2). Berikut dijelaskan dengan
lebih terperinci konsep ras dan etnik.

Ras
Biasanya konsep ras merujuk kepada satu kelompok manusia yang mempunyai
ciri-ciri warisan biologi dan fizikal yang berbeza dengan kelompok lain.
Mengikut kaedah ini secara umum kategori manusia terbahagi kepada tiga:
(a) Kaukosoid (Caucasian)
Mereka yang berkulit putih, berambut perang, berbadan tinggi. Kumpulan
ini ramai terdapat di negara-negara Eropah dan Amerika dan dikatakn
berasal dari kawasan Caucasus di timur Eropah (sila lihat Rajah 6.3).
(b) Negroid (Negroid)
Mereka terdiri daripada kebanyakan penduduk benua Afrika yang
berambut ikal, berkulit hitam dan berhidung kemek (sila lihat Rajah 6.4).
Istilah asal daripada perkataan Negro.
(c) Mongoloid (Mongoloid)
Mereka kebanyakannya menduduki kawasan Asia Timur (sila lihat
Rajah 6.5) dan dikatakan berasal dari benua Asia tengah. Istilah ini adalah
sempena dengan nama Mongolia, salah satu negara di Asia tengah.

Walau bagaimanapun, masih banyak kelompok manusia yang tidak dapat
dimasukkan ke dalam tiga kategori ini, kerana telah berlaku perkahwinan
campur yang meluas sehingga pembahagian manusia mengikut ciri-ciri fizikal
yang dinyatakan di atas tidak dapat dilaksanakan dengan jelas.
Dalam konteks masa kini, istilah „etnik‰ lebih sesuai digunakan serta mendapat
perhatian yang lebih luas. Sebenarnya, kesedaran etnik atau persepsi etnik itu
kadang kala tidak ada kena mengena dengan ciri-ciri biologi dan fizikal.
Misalnya, kalau kita lihat di sekeliling kita terdapat orang Melayu yang rupa
parasnya mirip kepada Cina, Arab atau India. Sebaliknya ada juga orang Cina
yang mempunyai rupa paras yang lebih mirip kepada orang Melayu. Tetapi
setiap daripada mereka itu tetap dengan identiti etnik masing-masing biarpun
dari segi rupa paras mereka adalah sebaliknya.
http://www.blogger.com/img/blank.gif
Kumpulan Etnik
Kelompok etnik merujuk kepada satu kelompok manusia yang mempunyai
tradisi budaya yang sama dan satu perasaan identiti yang sepunya. Kelompok
ini mungkin merupakan kelompok kecil (sub-group) yang wujud dalam
sesebuah negara yang mempunyai kelompok-kelompok etnik yang lain.
Misalnya, di negara kita terdapat kelompok etnik yang besar seperti Melayu,
Cina dan India, selain daripada kelompok-kelompok sub-etnik lain yang lebih
kecil seperti Orang Asli, Dusun, Kadazan, Iban, Bidayuh, Jawa, Bugis,
Mendailing dan sebagainya. Ahli-ahli kelompok etnik mempunyai perbezaan
ciri-ciri budaya berbanding dengan kelompok lain, misalnya dari segi bahasa,
agama dan adat resam. Oleh itu dapat kita simpulkan bahawa jika ras
merupakan kelompok manusia yang dibezakan kerana ciri-ciri biologi dan
fizikal, maka etnik pula dibezakan kerana persepsi dan elemen budaya masingmasing.
Sebagai contoh, orang Melayu dan orang Cina boleh digolongkan ke
dalam ras yang sama iaitu Mongoloid tetapi mereka berbeza dari segi etnik
kerana kedua-duanya mempunyai budaya yang berlainan (sila lihat Rajah 6.6
dan Rajah 6.7).

KUMPULAN ETNIK DAN HUBUNGAN SOSIO-BUDAYA

Sekiranya sesuatu kelompok manusia itu tinggal di kawasan masing-masing dan
tidak pernah bertemu dengan kelompok manusia lain, maka isu hubungan ras
atau etnik mungkin tidak timbul. Masalah hubungan etnik berbangkit sebaik
sahaja manusia yang berbeza-beza latar belakang budaya itu bertemu dan
bergaul antara satu sama lain. Pertembungan antara golongan berlainan ras dan
etnik tidak dapat dielakkan kerana manusia sentiasa bergerak untuk mencari
kawasan baru untuk diterokai, dijajah atau ditakluki. Sesetengah pertembungan
telah menyebabkan berlakunya peperangan, dan penjajahan oleh satu kelompok
ras ke atas kelompok lain. Misalnya, orang-orang Mongol yang mara ke kawasan
Eropah, Asia Barat dan Cina telah menyebabkan berlakunya peperangan di
antara mereka dengan penduduk asal tempatan.
Pergerakan manusia dari satu kawasan ke kawasan lain merupakan salah satu
daripada kedinamikan budaya (cultural dynamics). Di zaman moden,
pergerakan manusia dari sebuah negara ke negara lain banyak dipengaruhi oleh
faktor ekonomi, iaitu untuk memperolehi kehidupan yang lebih terjamin di
tempat baru. Terdapat juga kes-kes yang berkaitan dengan faktor politik
termasuk pelarian perang dan mereka yang memerlukan perlindungan atau
suaka politik. Ekoran daripada ini maka berlakulah pertembungan antara
manusia yang mempunyai budaya yang berlainan.

Dalam hubungan ras dan etnik, kelompok-kelompok manusia yang berbeza ras
dan etnik dibahagikan kepada beberapa strata:
(a) Strata atas
Biasanya dikategorikan sebagai kelompok dominan, superordinat, superior
atau majoriti.
(b) Strata bawah
Dikategorikan sebagai kelompok subordinat, inferior atau minoriti.
Biasanya kelompok ras dan etnik di strata bawah ini ditindas, dinafikan
beberapa hak asasi serta didiskriminasikan oleh kelompok yang
menduduki strata atas (sila lihat Rajah 6.8).

Bentuk-bentuk hubungan ras dan etnik ini dapat dikategorikan kepada:
(a) Kerjasama
Ia didorongi oleh kepentingan bersama. Kerjasama ini sama ada di antara
individu, seperti di kalangan jiran atau di antara kelompok, misalnya
kerjasama parti-parti politik. Kerjasama merupakan asas utama untuk
mewujudkan perpaduan di kalangan etnik.
(b) Persaingan
Ia merupakan proses mengalahkan orang lain untuk mendapatkan sesuatu
yang lazimnya terhad, misalnya dalam bidang ekonomi (pekerjaan,
pangkat), pendidikan, perumahan, tanah dan seumpamanya.
(c) Konflik
Ia merujuk kepada proses persaingan untuk mendapatkan sesuatu dengan
cara melemahkan, mengalahkan atau menghapuskan pihak lain yang
mempunyai kepentingan yang sama.
Ketiga-tiga bentuk hubungan di atas menimbulkan implikasi dan masalah yang
berlainan, dari yang bersifat harmoni hinggalah kepada konflik. Oleh itu
persoalan yang timbul ialah bagaimanakah masyarakat berlainan ras dan etnik
itu boleh wujud sesama mereka. Pola-pola di bawah merangkumi hampir
keseluruhan pola-pola yang mungkin terdapat dalam hubungan ras dan etnik di
merata tempat di seluruh dunia.
(a) Asimilasi
Dalam kebanyakan kes, kelompok etnik atau ras yang minoriti
diasimilasikan ke dalam kelompok etnik atau ras yang lebih besar.
Asimilasi biasanya melibatkan asimilasi budaya di mana kelompok
minoriti menerima sebahagian besar daripada budaya kelompok majoriti.
(b) Pluralisme
Sesetengah golongan minoriti enggan menghilangkan identiti etnik atau
rasnya kerana mereka mempunyai kesedaran yang tinggi dan berbangga
dengan warisan budaya ibunda mereka. Di samping itu juga, kelompok
dominan sanggup membenarkan malahan menggalakkan kewujudan
pelbagai budaya dalam masyarakat.
(c) Perlindungan undang-undang terhadap minoriti
Di dalam sesetengah negara, kumpulan minoriti dilindungi oleh undangundang.
Sebagai contoh, di England terdapat Race Relations Act 1965 yang
menjamin kepentingan sosial dan budaya golongan minoriti etnik.
(d) Pemindahan penduduk
Dalam situasi di mana terjadinya konflik yang begitu hebat antara
kelompok-kelompok ras dan etnik, cara penyelesaiannya ialah dengan
memindahkan kelompok ras dan etnik tertentu ke kawasan lain.
(e) Penaklukan berterusan
Dalam sesetengah kes, kelompok dominan mempunyai hasrat untuk
mengekalkan keistimewaannya ke atas kelompok minoriti. Untuk
memenuhi hasrat tersebut, mereka menggunakan kuasa tekanan untuk
memisahkan dan mengasingkan secara fizikal kelompok-kelompok ras dan
etnik yang berbeza-beza.
(f) Penghapusan (genocide)
Penghapusan keseluruhan penduduk atau pembunuhan beramai-ramai
(genocide) banyak dicuba malahan telah berjaya dilakukan di beberapa
tempat di muka bumi. Kaedah penghapusan penduduk termasuk
pembunuhan dengan menggunakan senjata api dan dengan sengaja
menyebarkan penyakit berjangkit seperti cacar (small-pox) di kalangan
penduduk yang menjadi sasaran.

KONFLIK ETNIK

Sebagaimana yang telah dinyatakan di atas, hubungan ras dan etnik boleh wujud
sama ada dalam bentuk harmoni atau dalam bentuk bermusuhan. Terdapat
beberapa faktor asas yang menyebabkan berlaku hubungan bermusuhan antara
kelompok-kelompok ras dan etnik.

Rasisme dan Etnosentrisme
Rasisme merujuk kepada anggapan sesorang bahawa ras sendiri adalah lebih
baik, iaitu lebih superior, daripada ras orang lain. Sementara etnosentrisme pula
merupakan kepercayaan bahawa unsur-unsur yang terdapat pada budaya
sendiri seperti agama, nilai, sikap dan amalan budaya adalah lebih baik daripada
yang dimiliki oleh kelompok-kelompok etnik lain.

Rasisme dan Etnosentrisme: Berfungsi atau Disfungsi?

Kedua-dua anggapan di atas mempunyai fungsi tersirat. Kesedaran tentang ras
yang superior dapat mengikat ahli-ahli sesuatu kelompok ras atau etnik di
bawah satu solidariti dan semangat kekitaan yang kuat. Adolf Hitler
menggunakan idea tentang keagungan bangsa Aryan untuk mendapatkan
sokongan untuk parti Nazi (sila lihat Rajah 6.9). Namun demikian, anggapan
sedemikian juga boleh bersifat disfungsi. Kesedaran rasisme dan etnosentrisme
boleh menyebabkan seseorang itu melihat kelompok lain sebagai inferior dan
lebih rendah dari segi taraf sosial dan budaya. Dengan demikian mereka layak
ditindas, dieksploitasi dan ditekan. Jika perkara ini berlaku maka perbezaan ras
dan etnik akan menyumbang kepada wujudnya konflik dan ketegangan dalam
sebuah negara berbilang ras dan etnik.

Punca-punca Rasisme dan Etnosentrisme
Kita semua maklum bahawa kepercayaan rasisme dan etnosentrisme boleh
membawa kepada konflik. Dengan demikian, pendekatan atau teori konflik
adalah sesuai dalam menganalisis sebab-sebab terjadinya rasisme dan
etnosentrisme. Berdasarkan teori konflik, rasisme dan etnosentrisme wujud akibat kesan daripada persaingan sesama kelompok-kelompok ras dan etnik ke
atas sumber-sumber yang terbatas. Untuk rasisme dan etnosentrisme terbentuk
mestilah terlebih dahulu wujud tiga keadaan berikut:
(a) Mestilah terdapat dua atau lebih kelompok sosial yang dapat dikenal pasti
melalui perbezaan ciri-ciri fizikal dan budaya.
(b) Mestilah terdapat persaingan di antara kelompok-kelompok ke atas
sumber-sumber yang bernilai seperti kuasa, tanah atau pekerjaan.
(c) Mestilah wujud kuasa yang tidak seimbang di antara kelompok-kelompok,
dalam erti kata terdapat satu kelompok yang dominan yang mempunyai
kuasa yang lebih kuat untuk menafikan kelompok-kelompok lain hak ke
atas sumber-sumber yang bernilai itu.
Semakin tinggi persaingan, maka semakin kuat perasaan rasisme dan
etnosentrisme. Mengikut perspektif konflik ketaksamaan ekonomi menjadi
penyebab kepada meningkatnya rasisme dan etnosentrisme. Teori konflik
menjelaskan bahawa untuk merasionalkan tindakan menjajah, orang kulit putih
atau the white race menganggap ras kulit hitam (the coloured race) tidak
mempunyai martabat setinggi mereka. Ideologi rasisme mewajarkan
diskriminasi terhadap orang kulit hitam kerana tanggapan bahawa kedudukan
mereka adalah inferior, justeru mereka tidak layak diberikan pekerjaan yang
baik, pendidikan tinggi serta kemudahan kemudahan asas yang lain. Adakah ini
adil apabila disedari bahawa kita semua pada dasarnya sama sahaja, iaitu insan
biasa (sila lihat Rajah 6.10)?

Prejudis dan Diskriminasi
Hubungan ras dan etnik diburukkan lagi dengan adanya prasangka dan
diskriminasi. Prasangka merupakan pandangan buruk atau prejudis terhadap
ahli-ahli kelompok lain. Prasangka biasanya bersifat negatif, di mana ahli-ahli
kelompok lain dibenci kerana perbezaan ras atau etnik serta mempunyai ciri-ciri
yang tidak diingini.
Diskriminasi merupakan layanan yang tidak adil dan tidak sama rata terhadap
individu atau kelompok atas dasar ciri-ciri yang tidak relevan seperti jantina, ras,
etnik atau kelas sosial. Diskriminasi berlaku apabila sesetengah kumpulan
manusia manusia dengan dinafikan sesuatu hak semata-mata kerana perbezaan
ras dan etnik.

Faktor penting yang membawa kepada prasangka dan diskriminasi ialah
persepsi sosial yang tidak tepat tentang sesuatu kumpulan ras atau etnik.
Persepsi tersebut diburukkan lagi oleh sejarah pertembungan awal antara
kumpulan ras and etnik. Pertembungan antara pelbagai golongan ras dan etnik
biasanya akan membangkitkan perasaan „kami dan mereka‰ (us and them), iaitu
sikap melihat orang yang kita tidak kenali sebagai „orang luar kelompok,‰
justeru hubungan mestilah tidak saksama dengan „orang dalam kelompok.‰
Perasaan tersebut menyebabkan kita menganggap orang luar itu sebagai musuh,
tidak boleh dipercayai, atau setidak-tidaknya harus dilayan dengan berwaspada
serta tidak boleh diterima sebagai saksama.

Proses sosialisasi juga turut menjadikan persepsi tersebut bertambah buruk,
terutama sekali apabila persepsi yang salah itu diperturunkan dari satu generasi
ke satu generasi. Selain itu media massa seperti televisyen, filem, surat khabar dan
seumpamanya memainkan peranan dalam memburukkan lagi persepsi yang salah
itu, seolah-olah sesuatu kelompok ras dan etnik adalah ganas, miskin dan jahat.
Misalnya dalam filem-filem Barat orang kulit hitam digambarkan sebagai
penjenayah, pemabuk dan menjadi punca kepada segala masalah sosial dan
ekonomi (sila lihat Rajah 6.11).

Stereotaip
Prasangka dan diskriminasi berkait rapat dengan konsep stereotaip. Stereotaip
merupakan pernyataan-pernyataan yang ditanggapi terlebih dahulu, yang
merupakan kepercayaan dan jangkaan yang membentuk pernyataan tersebut.
Ada stereotaip yang mengaitkan sifat-sifat negatif dengan sesuatu golongan
etnik, seperti „pemalas‰, „pengotor‰, „pembelit‰ atau „penipu.‰ Kepercayaan
umum ini mungkin terbentuk ekoran daripada pengalaman yang pernah dilalui
sendiri, melalui sosialisasi atau mengikut apa yang diceritakan oleh orang lain.
Stereotaip ini memberi kesan apabila seseorang itu pertama kali bertemu dengan
mereka yang berasal dari ras atau etnik yang berlainan. Walaupun pada hakikatnya
mereka tidak mempunyai sifat-sifat negatif seperti yang katakan, tetapi oleh kerana
stereotaip yang terbentuk dengan lebih awal itu, maka kita terus mempunyai buruk
sangka terhadap mereka. Misalnya, kita baru terserempak dengan seorang Negro di
Kuala Lumpur dan cuba memahami sikap beliau; maka pemahaman dan pentafsiran
siapa beliau adalah berdasarkan kepada stereotaip yang kita ada mengenai orang
Negro secara keseluruhan. Tafsiran kita mungkin tersasar daripada realiti apabila kita
tiba-tiba teringatkan siapakah yang menjadi presiden Amerika Syarikat pada ketika
ini (sila lihat Rajah 6.12).

Kelompok ras dan etnik yang juga golongan minoriti bukan sahaja
diprasangkakan dan didiskriminasi tetapi dalam kes-kes tertentu mereka
dijadikan mangsa lempar salah (scapegoat). Mereka sering dijadikan kambing
hitam iaitu dijadikan alat untuk oleh golongan dominan jika berlaku sesuatu
masalah sosial, ekonomi atau politik. Di Malaysia, pendatang-pendatang asing
dari Indonesia, Bangladesh, Myanmar, Vietnam, dan sebagainya selalu
dipersalahkan apabila kadar jenayah dan salah laku sosial meningkat.

KESEDARAN ETNIK DAN IDENTITI

Hubungan ras dan etnik biasanya merupakan satu proses mengikut
perkembangan masa, iaitu bermula dengan kontrak awal hinggalah kepada yang
akhirnya membawa perpaduan. Namun proses ini tidak semestinya sedemikian.
Untuk memudahkan perbincangan kita, cuba lihat proses hubungan ras dan
etnik yang berbentuk continuum (berterusan) yang dimulai dengan segregasi
hingga kepada penyatuan biologi (amalgamasi) seperti dalam Rajah 6.13.

(a) Segregasi
Hubungan ras dan etnik yang bersifat pemisahan, di mana kelompokkelompok
ras dan etnik biasanya tinggal berasingan dan terpisah dari segi
fizikal, sosial dan budaya. Contoh terbaik ialah sistem apartheid selatan.
(b) Akomodasi
Hubungan ras dan etnik dicirikan oleh hidup bersama namun mereka
masih tetap hidup berasingan. Mereka hidup secara harmoni dengan setiap
kelompok diwakili di peringkat pusat, di mana mereka bertolak ansur antara satu dengan lain. Hubungan ini biasanya terdapat dalam
masyarakat majmuk.
(c) Akulturasi
Hubungan ras dan etnik yang dicirikan oleh asimilasi budaya, di mana
kelompok-kelompok ras dan etnik yang berlainan itu saling meminjam
unsur-unsur budaya sesama mereka. Dalam kes yang agak ekstrim ialah di
mana kelompok minoriti menerima unsur-unsur budaya kelompok
dominan secara besar-besaran.
(d) Asimilasi
Hubungan ras dan etnik yang melibatkan asimilasi struktur, berbeza
dengan asimilasi budaya. Di peringkat ini, kelompok minoriti diserap ke
dalam masyarakat dominan bukan sahaja dari segi budaya tetapi juga
menerima aspek-aspek lain seperti pendidikan, ekonomi dan lain-lain.
(e) Amalgamasi
Hubungan ras dan etnik yang dicirikan dengan perkahwinan campur
rentas sempadan ras dan etnik (sila lihat Rajah 6.14). Akibatnya terbentuk
ras yang baru dan dengan demikian kelompok-kelompok ras dan etnik
sudah menjadi satu. Contoh terbaik berlaku di Brazil dan Hawaii.

1 comment: