Wednesday, December 14, 2011

Topik 5 Politik dan Kawalan Sosial

JENIS-JENIS ORGANISASI POLITIK
Kita akan membincangkan empat jenis organisasi politik dalam topik ini:
(a) Masyarakat kumpulan (band)
(b) Masyarakat suku (tribe)
(c) Kerajaan (chiefdom)
(d) Sistem negara

Masyarakat Kumpulan (Band)
Masyarakat kumpulan (band) terdiri daripada pengumpul makanan yang
berpindah-randah. Saiz mana-mana kumpulan bergantung kepada kaedahnya
mengumpul makanan. Lebih banyak makanan yang boleh dikumpul, lebih ramai
ahli kumpulan boleh ditampung pada sesuatu masa. Masyarakat kumpulan bersifat
sama rata, iaitu tidak terdapat ketidaksamaan dari segi status atau harta. Masyarakat
Ju/Ɗhoansi di gurun Kalahari merupakan contoh masyarakat kumpulan.
Secara amnya, masyarakat kumpulan mempunyai ciri-ciri berikut:
(a) Memandangkan kebanyakan ahli-ahli kumpulan mempunyai hubungan
darah atau perkahwinan antara satu sama lain, kesejahteraan bersama
dianggap sangat penting. Konflik selalunya diselesaikan secara tidak
formal di antara ahli-ahli kumpulan melalui perundingan.
(b) Masyarakat kumpulan mempunyai kadar integrasi politik yang rendah.
Dalam erti kata lain, kumpulan-kumpulan yang berbeza tidak mempunyai
perhubungan politik antara satu sama lain.
(c) Politik tidak boleh dipisahkan daripada aspek-aspek kehidupan yang lain
dalam masyarakat kumpulan. Keluarga, ekonomi, agama, dan politik amat
terbenam dalam keseluruhan kehidupan dan tidak mudah dibezakan
antara satu sama lain.
(d) Kepimpinan dalam masyarakat kumpulan adalah tidak formal dan
dipegang oleh orang yang lebih tua yang dihormati kerana pengalaman,
kebijaksanaan, penghakiman yang baik, serta ilmu memburu. Keputusan
dibuat melalui perbincangan; ketua tidak berkuasa memaksa sesiapa untuk
menurut telunjuknya.

Masyarakat Suku (Tribe)
Tidak seperti masyarakat kumpulan, masyarakat suku (tribe) terdiri daripada
pengeluar makanan (secara hortikultur atau pastoral). Selain itu, masyarakat
suku agak sama dengan masyarakat kumpulan dalam pelbagai aspek. Keduaduanya
bersifat sama rata, dan mempunyai ketua tempatan tanpa kepimpinan
berpusat. Seperti ketua kumpulan, ketua suku diiktiraf secara tidak rasmi
berdasarkan ciri-ciri seperti kebijaksanaan dan kepintaran, tetapi ini tidak
bermakna mereka boleh memaksa sesuatu keputusan ke atas suku mereka. Satu
contoh masyarakat suku ialah orang Nuer daripada selatan Sudan (sila rujuk
Rajah 5.2).

Perbezaan paling ketara di antara masyarakat suku dan masyarakat kumpulan
ialah kewujudan mekanisme segenap suku (pan-tribal mechanism) yang
berfungsi untuk menyatukan suku-suku ini menjadi sebuah persekutuan.
Mekanisme ini berbeza menurut suku, gred umur, dan kongsi gelap. Walaupun
mekanisme ini tidak kekal, ianya amat berguna jika terdapat ancaman luar,
misalnya, peperangan dengan suku lain. Apabila ancaman-ancaman ini telah
dikawal, suku-suku tersebut akan kembali berdikari secara politik.

Kerajaan (Chiefdom)
Kerajaaan (chiefdom) dikepalai oleh seorang ketua atau chief (sila rujuk Rajah
5.3) yang kadangkala dibantu oleh badan penasihat. Apabila masyarakat kian
berkembang, terdapat keperluan untuk struktur politik yang lebih formal dan
berkekalan. Tidak seperti masyarakat suku dan masyarakat kumpulan,
ketidaksamaan sosial wujud di dalam kerajaan dari segi pangkat dan status.
Ketua biasanya mewarisi kedudukan mereka manakala saudara-saudara
terdekat mereka membentuk suatu golongan sosial dan politik yang elit. Orang
Nootka dari British Columbia merupakan suatu contoh kerajaan.
Ketua-ketua mempunyai ciri-ciri berikut:
(a) Autoriti politik
Tidak seperti ketua suku atau kumpulan, ketua merupakan pegawai rasmi
yang berpangkat tinggi, berkuasa, dan mempunyai autoriti berbanding
orang lain dalam masyarakat.
(b) Kuasa ghaib
Autoriti ketua selalunya disokong oleh dakwaan bahawa beliau
mempunyai kuasa ghaib (sama ada benar atau tidak). Misalnya, di
kalangan orang Nootka, kuasa sering dikaitkan dengan sihir untuk
memburu ikan paus.
(c) Aktiviti ekonomi
Peranan ketua amat berhubung rapat dengan aktiviti ekonomi
masyarakatnya. Beliau sering diberikan lebihan makanan yang
kemudiannya diagihkan kembali kepada masyarakat ketika pesta
keramaian (sila rujuk Topik 6: Sistem Pertukaran).

Sistem Negara

Dalam kesemua organisasi politik yang digambarkan setakat ini, sistem negara
adalah yang paling formal dan kompleks. Ferraro (2006) mentakrifkan negara
sebagai:

"Suatu bentuk organisasi politik berhierarki yang menaungi banyak
komuniti yang terdapat dalam sesebuah kawasan geografi yang besar."


Tidak seperti masyarakat kumpulan dan masyarakat suku yang berteraskan
hubungan persaudaraan, negara lebih bersifat impersonal. Negara menawarkan
perkhidmatannya kepada warga-warganya yang menetap di bawah lingkungan geografinya. Di antara fungsi-fungsi negara termasuklah mengumpul cukai,
merekrut askar untuk bala tentera, mentadbir organisasi-organisasi birokrasi,
menggunakan kekerasan untuk meleraikan konflik, dan sebagainya. Negara
sudah lama wujud sejak zaman berzaman, dan contoh-contoh yang mahsyur
termasuklah empayar Rom dan negara-negara kota Yunani (sila rujuk Rajah 5.4
dan Rajah 5.5).

Autoriti sesuatu negara itu bergantung kepada dua asas:
(a) Hak eksklusif untuk menggunakan kekerasan
Hanya negara sahaja yang memegang hak untuk menggunakan keganasan.
Sesiapa sahaja yang bersalah menggunakan keganasan secara haram akan
dihukum oleh negara. Mekanisme seperti anggota polis dan angkatan
tentera disediakan untuk memastikan keselamatan negara daripada
ancaman luaran atau dalaman.
(b) Ideologi
Kuasa tidak mencukupi untuk mengekalkan autoriti negara. Ideologi juga
diperlukan untuk meyakini rakyat bahawa pihak berkuasa berhak untuk
mentadbir. Ini selalunya dicapai melalui institusi-institusi seperti agama
dan media massa.

KAWALAN SOSIAL TIDAK FORMAL

Tidak kira apa jenis organisasi politik, semua masyarakat perlu mempunyai caracara
kawalan sosial, sama ada formal atau tidak formal. Kawalan sosial
mengekalkan aturan sosial, dan tanpanya masyarakat akan berada dalam
keadaan huru-hara dan kekecohan. Berikut adalah cara-cara kawalan sosial yang
tidak formal:
(a) Sosialisasi
(b) Pendapat umum
(c) Keturunan korporat (corporate lineage)
(d) Sistem kepercayaan ghaib
(e) Organisasi umur

Sosialisasi
Sosialisasi ialah proses di mana norma-norma dan nilai-nilai diturunkan
daripada satu generasi ke generasi yang seterusnya. Norma-norma dan nilainilai
ini menentukan apa yang boleh dan tidak boleh diterima oleh masyarakat.
Sosialisasi dapat dicapai melalui institusi-institusi seperti pendidikan, keluarga,
agama, dan sebagainya. Contohnya, ibu bapa akan kecewa jika anak-anak
mereka tidak mahu pergi ke sekolah. Kanak-kanak belajar daripada pengalaman
yang bersekolah ialah norma sosial yang harus diakuri jika mereka ingin
diterima masyarakat.


Pendapat Umum

Pendapat umum amat berkait rapat dengan sosialisasi kerana ia menghalang
orang daripada menyimpang. Jika mereka berbuat begitu, mereka tidak akan
diterima oleh masyarakat. Semua orang memerlukan penerimaan sosial dan
akan melakukan apa sekalipun untuk mengelakkan kecaman sosial. Inilah
sebabnya orang ramai mengelak daripada melakukan sesuatu yang menyimpang
kerana takut diumpat oleh jiran-jiran mereka: „Nanti apa orang kata?‰
Contohnya, jika seseorang melakukan jenayah dalam komunitinya, dia akan
dikutuk dan disisihkan daripada rakan-rakan serta keluarga. Biasanya ini
mencukupi untuk memastikan bahawa dia berkelakuan baik.

Keturunan Korporat (Corporate Lineage)

Keturunan korporat (corporate lineage) terdiri daripada mereka yang menetap,
bekerja, bermain, dan beribadat bersama-sama (sila rujuk Rajah 5.6). Kedekatan
ini mengawal kelakuan ahli-ahlinya dalam pelbagai aspek. Secara ekonomi,
pengagihan tanah dan binatang ternakan dikawal oleh orang-orang tua dalam
keturunan korporat tersebut. Mereka yang mengakuri norma-norma serta nilainilai
keturunan korporat mereka akan mendapat tanah serta binatang ternakan
yang terbaik, manakala mereka yang melanggar peraturan tersebut akan
dinafikan akses kepada resos-resos tersebut. Keturunan korporat juga
menganggap perkahwinan lebih sebagai penyatuan politik daripada penyatuan
antara individu-individu.

Sistem Kepercayaan Ghaib
Sistem kepercayaan ghaib adalah mekanisme kawalan sosial yang berpengaruh.
Ia melibatkan kepercayaan kepada tuhan-tuhan, ahli-ahli sihir, dan sebagainya.
Banyak agama mengukuhkan kepercayaan bahawa jasa baik akan dibalas baik
sementara perbuatan jahat akan dibalas jahat oleh kuasa ghaib. Tidak perlu
dibuktikan bahawa kuasa-kuasa ghaib ini benar-benar wujud; cukuplah sekadar
pengikut-pengikut mempercayai balasan ekoran perbuatan mereka yang akan
menegah mereka daripada menyimpang. Sistem kepercayaan ghaib terdiri
daripada:
(a) Penyembahan moyang
Dalam sesetengah masyarakat, kematian moyang tidak dianggap
berakhirnya kewujudan mereka. Kematian mereka mengangkat mereka ke
status makhluk ghaib yang harus dihormati dan digeruni. Dipercayai
bahawa moyang-moyang ini masih memantau komuniti mereka dan
bertanggungjawab memberikan ganjaran atau hukuman.
(b) Sihir
Dalam sesetengah masyarakat, orang ramai terpaksa akur kepada normanorma
sosial kerana takut dilabel ahli sihir (sila lihat Rajah 5.7). Apabila
perkara-perkara buruk berlaku (contohnya, hasil tanaman tidak menjadi
atau ramai orang mati), perkara-perkara ini tidak dikaitkan dengan sebabsebab
semula jadi tetapi dengan sihir.

Organisasi Umur (Age Organisation)
Bila berbicara tentang organisasi umur (age organisation), kita harus
membezakan di antara:
(a) Set umur
Sekumpulan orang (biasanya lelaki) yang melalui upacara inisiasi dan
mempunyai rasa kekitaan yang amat kuat antara satu sama lain. Set umur
berkekalan daripada permulaannya, biasanya ketika ahli-ahlinya melalui
usia dewasa, sehinggalah ahlinya yang terakhir meninggal dunia.
(b) Gred umur
Set-set umur melalui kategori-kategori berturutan (gred umur) seperti
pahlawan, orang tua, dan sebagainya. Setiap gred umur dikaitkan dengan
set peranan atau status sosial yang difahami umum.

KAWALAN SOSIAL FORMAL

Sekarang kita mempertimbangkan cara-cara kawalan sosial formal yang terdiri
daripada:
(a) Perantara
(b) Mut (moot)
(c) Angkat sumpah dan ujian
(d) Undang-undang
(e) Peperangan

Perantara
Sesetengah masyarakat menggunakan perantara untuk membantu mereka
meleraikan konflik yang serius. Contohnya, orang Nuer di Sudan akan merujuk
seseorang yang digelar ketua kulit harimau bintang (leopard-skin chief) untuk
menyelesaikan permasalahan di antara mereka (sila rujuk Rajah 5.8). Misalnya,
seorang pembunuh mungkin akan berlindung di bawah ketua kulit harimau
bintang sementara beliau berusaha untuk berunding dengan pihak-pihak yang
bertelagah. Beliau akan cuba meyakinkan pihak yang bersalah untuk membayar
ganti rugi sebagai pampasan kepada keluarga si mangsa (dalam bentuk binantang
ternakan atau harta). Dalam sesetengah kes, ketua kulit harimau bintang akan
menyumpah pihak yang bersalah jika tiada penyelesaian dapat dipersetujui.
Organisasi umur mengawal tingkahlaku ahli-ahlinya melalui beberapa cara.
Pertama, organisasi umur menetapkan set peranan dan status yang jelas untuk
ahli-ahli masyarakat. Kedua, apabila individu-individu memasuki set umur yang
baru, mereka mesti melalui ritus-ritus peralihan tertentu yang melibatkan
indoktrinasi nilai dan norma. Ketiga, penyatuan (bonding) yang wujud di antara
ahli-ahli dalam set umur membuat mereka akur kepada nilai-nilai kumpulan.

Mut (Moot)
Mut (moot ) merupakan cara meleraikan konflik dalam kebanyakan masyarakat
di Afrika. Mut merupakan pengemukaan kes secara tidak formal yang
melibatkan litigan serta rakan-rakannya atau saudara maranya. Secara amnya,
mut cuba menyelesaikan permasalahan domestik seperti penderaan isteri, salah
faham akibat pembahagian harta pusaka, ataupun hutang yang tidak dibayar.
Tidak seperti sistem mahkamah yang formal, mut tidaklah bersifat menuduh.
Mut sebenarnya bertujuan untuk mengintegrasikan pihak yang bersalah kembali
ke dalam komuniti dan memperbaiki hubungan di antara pihak-pihak yang
bertelagah. Hukuman biasanya tidaklah serius dan tidaklah begitu berat
sehingga memalukan pihak yang kalah. Masyarakat Kpelle merupakan contoh
masyarakat di Afrika yang mengamalkan mut.

Angkat Sumpah dan Ujian
Apabila tiada agensi penguatkuasaan undang-undang, maka kaedah keagamaan
seperti angkat sumpah dan ujian mungkin diperlukan. Angkat sumpah
merupakan pengisytiharan formal kepada kuasa ghaib yang segala yang
diucapkan ialah benar atau pihak yang mengangkat sumpah tidak bersalah.
Angkat sumpah biasanya diiringi dengan ritus seperti menghisap paip
perdamaian (peace pipe), bersumpah di atas kitab suci, dan sebagainya (sila rujuk
Rajah 5.9). Kerana ada yang mempercayai bahawa menipu ketika mengangkat sumpah mungkin mengundang hukuman daripada kuasa ghaib, angkat sumpah
agak berkesan dalam menentukan sama ada seseorang itu bersalah atau tidak.

Ujian merupakan cara menentukan kebersalahan dengan menyuruh pihak yang
tertuduh untuk melalui ujian yang berbahaya. Jika orang tersebut melepasi ujian
itu dengan jayanya, ia dipercayai bahawa kuasa ghaib telah menentukan bahawa
dia tidak bersalah; jika dia gagal, tuhan-tuhan telah menunjukkan kebersalahan
pihak yang tertuduh. Dalam sesetengah masyarakat Afrika, pihak tertuduh
diminta mengangkat keluar batu yang panas daripada bekas yang dipenuhi air
mendidih dan dengan segera meletakkan tangannya ke dalam bekas yang
dipenuhi air sejuk. Tangan itu kemudiannya dibalut dan diperiksa keesokan
harinya. Jika tangannya melepuh, pihak tertuduh terbukti bersalah; jika tidak,
dia diisytiharkan tidak bersalah.

Undang-undang

Sistem negara mempunyai monopoli ke atas penggunaan kekerasan. Melalui sistem
undang-undang yang terakam (sila lihat Rajah 5.10), negara menegah individu
daripada menggunakan kekerasan sewenang-wenangnya dan menentukan
bagaimana kekerasan harus digunakan untuk memaksa warga-warganya untuk
melakukan sesuatu dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara
lain. Undang-undang ini biasanya dalam bentuk bertulis, ditetapkan oleh badan
perundangan, ditafsir oleh sistem kehakiman, dan dikuatkuasakan oleh pihak
pentadbir. Apabila undang-undang dilanggar, negara mempunyai autoriti melalui
mahkamah dan agensi penguatkuasaan undang-undang untuk mendenda,
mempenjarakan, atau menghukum mati pesalah tersebut.

Ahli antropologi undang-undang E. Adamson Hoebel (1972) telah mengenal
pasti tiga ciri asas undang-undang:
(a) Undang-undang melibatkan penggunaan paksaan fizikal yang sah.
(b) Sistem perundangan memperuntukkan autoriti rasmi kepada orang-orang
istimewa yang boleh menggunakan paksaan secara sah.
(c) Undang-undang mestilah seragam dan mudah dijangka.

Peperangan

Sepertimana masyarakat mempunyai cara-cara mengatur hubungan sosial ahliahlinya,
masyarakat juga mempunyai mekanisme-mekanisme untuk menguruskan
hubungan luar dengan kumpulan-kumpulan lain, sama ada negara lain, suku lain,
kumpulan lain, keturunan lain, dan sebagainya. Salah satu mekanisme kawalan
sosial luar kumpulan atau masyarakat sendiri ialah peperangan yang boleh
didefinisikan sebagai pertempuran yang sistematik, teratur, dan berinstitusi antara
kumpulan-kumpulan yang berbeza (sila rujuk Rajah 5.11). Manusia mungkin
enggan untuk bersikap anti-sosial atau agresif jika kelakuan sebegitu boleh
mengundang serangan daripada kuasa-kuasa luar.
Kita boleh mengenal pasti beberapa faktor yang menyumbang kepada
peperangan. Ini termasuklah:
(a) Masalah-masalah sosial
Apabila wujudnya masalah sosial dalaman, ketua-ketua politik mungkin
mengalihkan kekecewaan masyarakat terhadap kumpulan yang lain.
Orang luar dipaparkan seolah-olah mereka mempunyai lebih daripada apa
yang mereka sepatutnya dapat atau seakan-akan mereka merupakan punca
masalah sosial. Rusuhan kaum biasanya berlaku kerana perkara ini.
(b) Ancaman yang ditanggapi
Dalam sesetengah kes, manusia akan berperang apabila mereka merasakan
keselamatan atau kesejahteraan mereka digugat. Contohnya, Perang
Vietnam berlaku kerana Amerika Syarikat bimbang bahawa komunisme
semakin menular di negara tersebut dan khuatir bahawa ia mungkin
merebak ke seluruh Asia.
(c) Motivasi politik
Kadangkala, negara-negara mungkin berperang untuk tujuan melanjutkan
objektif politik mereka. Amerika Syarikat ialah contoh masyarakat yang
memainkan peranan sebagai „polis dunia‰ untuk tujuan melanjutkan
tujuan politiknya.
(d) Objektif moral
Agak sukar untuk memikirkan tentang sebarang peperangan dalam sejarah
manusia yang telah dimulakan tanpa adanya sebarang agenda keagamaan.
Walaupun peperangan berlaku kerana sebab-sebab politik dan ekonomi,
mereka yang menghantar askar-askar ke medan peperangan akan memberi
justifikasi bahawa mereka bertindak atas dasar agama. Misalnya, Perang Salib di antara orang-orang Islam dan Kristian berlaku atas sebab-sebab
keagamaan.

No comments:

Post a Comment