Wednesday, December 14, 2011

Topik 4 Sistem Kepercayaan dan Agama

DEFINISI AGAMA
Dalam mengharungi lautan kehidupan, sudah tentu ada banyak perkara yang
melangkaui akal fikiran kita. Agama dan kepercayaan mula-mula terbit dengan
tujuan memberi jawapan kepada persoalan kehidupan yang rumit. Masyarakat
primitif sejak 60,000 tahun dahulu sudah memperlihatkan amalan agama dalam
upacara pengebumian mereka sebagai usaha untuk berhubung dengan kuasa
ghaib dan alam selepas mati. Sudah jelas bahawa agama itu perkara universal
yang tidak boleh lari daripada kehidupan bermasyarakat. Dalam pendekatan
antropologi sistem, agama merangkumi semua bentuk kepercayaan, termasuk
mereka yang percaya kepada batu, mereka yang percaya kepada pokok mereka
yang percaya kepada awan di langit.

Tetapi apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan agama? Pelbagai definisi
telah dicadangkan oleh sarjana-sarjana antropologi seperti Tylor, Durkheim dan
Geertz. Mari kita tinjau satu persatu.
Edward Tylor menjelaskan agama sebagai „belief in spiritual beings‰ iaitu
kepercayaan kepada roh dan semangat. Definisi ini menegaskan bahawa agama
mempunyai elemen spiritual yang tidak semestinya kelihatan pada mata kasar
manusia. Elemen ini boleh dilihat, misalnya, pada amalan animisme yang
mempercayai bahawa objek-objek alam seperti batu dan pokok dihuni oleh roh
atau semangat dan layak disembah dan diberikan tempat dalam hubungan
antara manusia dan alam kudus (sila lihat Rajah 4.2).

Emile Durkheim (sila lihat Rajah 4.3) telah menghuraikan fenomena agama
dalam bukunya The Elementary Forms of Religious Life. Beliau mendefinisikan
agama sebagai:

Sistem kepercayaan dan amalan yang bersepadu yang berkaitan dengan benda
yang kudus, iaitu benda khusus yang dilihat mempunyai kuasa, yang dapat menyatukan
ahli masyarakat ke dalam satu komuniti moral atau gereja.

Clifford Geertz (sila lihat Rajah 4.4) pula mendefinisikan agama sebagai:
(a) Sistem yang terdiri daripada pelbagai symbol yang bertindak untuk
(b) Mewujudkan dalam diri manusia satu perasaan dan rangsangan yang kuat,
menyeluruh dan berpanjangan, melalui
(c) Pembentukan kesedaran terhadap kewujudan satu bentuk aturan umum
yang tertib dan teratur yang berkaitan dengan kehidupan, serta
(d) Menyelubungi kesedaran tersebut dengan satu bentuk aura yang kelihatan
betul-betul berwibawa, sehinggalah
(e) Perasaan dan rangsangan tersebut seolah-olah mempunyai kebenarannya
yang sangat unik dan istimewa.

STRUKTUR AGAMA
Setakat ini, kita telah cuba mengungkap makna agama sebagai institusi sosial.
Agama melibatkan kepercayaan kepada makhluk ghaib (tuhan, roh, semangat,
dewa, jin, makhluk halus). Semua ini tergabung di bawah konsep kuasa
supernatural, yang boleh menimbulkan perasaan-perasaan seperti misteri,
gerun, takut dan hormat, serta dipercayai boleh membantu manusia dalam
kesusahan dan dalam keadaan yang tidak menentu.
Ahli antropologi mengkaji agama sebagai sebuah institusi sosial yang bersifat
sejagat. Kepelbagaian agama merangkumi agama-agama primitif seperti
animisme sehinggalah agama-agama abstrak (monotheisme dan polytheisme).
Tidak kira apa bentuk agama yang dianuti manusia, elemen-elemen berikut
boleh diperhatikan pada mana-mana agama:
(a) Kudus dan duniawi
(b) Doktrin dan ritus
(c) Perantara dan pengikut

Kudus dan Duniawi
Kebanyakan agama membezakan di antara perkara-perkara yang kudus (sacred)
dan duniawi (profane). Kudus menggambarkan sesuatu yang luar biasa dan
mempunyai kuasa supernatural yang boleh menimbulkan rasa takut dan gerun.
Duniawi mewakili perkara-perkara yang biasa dan sekular. Sebagai contoh,
modul yang sedang anda pegang dan baca ini bersifat duniawi. Jika anda mahu,
anda boleh membawanya masuk ke tandas dan sekiranya anda tidak berpuas
hati dengannya, anda boleh mencampaknya dengan selamba ke dalam tong
sampah. Anda tidak boleh berbuat sedemikian dengan kitab-kitab agama seperti
al-Quran ataupun kitab Injil. Sanubari anda akan menegah anda daripada
berkelakuan tidak sopan dengan teks-teks agama kerana anda menghormati
kekudusan objek tersebut.

Pembezaan di antara yang kudus dan yang duniawi berlaku secara simbolik. Ini
adalah kerana perlakuan agama banyak bergantung kepada perlambangan atau
simbolisme untuk mewakili suatu kewujudan yang ghaib dan mistik. Terdapat
pelbagai cara untuk menunjukkan kekudusan sesuatu objek, sama ada melalui:

(a) Ruang
Ada tempat-tempat yang dikhaskan untuk tujuan keagamaan, contohnya
perkuburan.
(b) Perlakuan
Pelbagai macam perlakuan boleh melambangkan sesuatu yang kudus,
contohnya mengambil air sembahyang untuk tujuan menyucikan diri
sebelum solat.
(c) Perbezaan biologi
Masyarakat membezakan antara lelaki dan wanita kerana pusingan biologi
yang berlainan, contohnya wanita Islam yang datang bulan diharamkan
daripada bersembahyang kerana dianggap „tidak suci‰ kerana masih
dalam haid.
(d) Objek-objek suci
Pelbagai objek suci digunakan dalam upacara keagamaan, contohnya salib,
totem, patung, bulan sabit, dan sebagainya (sila lihat Rajah 4.5, 4.6, 4.7 dan
4.8). Objek suci termasuk gabungan perkataan yang diungkap dalam nada
khas mengikut tertib ritus dan keupacaraan.
(d) Golongan agamawan
Golongan ini bertindak sebagai perantara di antara dunia sekular dan
dunia kudus, contohnya imam, brahmin, paderi, pawang atau shaman.
Mereka ini akan melafazkan ayat-ayat suci (doa, jampi, mantra) dalam
upacara keagamaan.

Ritus dan Doktrin
Ajaran sesuatu agama atau doktrinnya tidak mampu berdiri sendiri tanpa
disokong oleh perbuatan atau tindakan. Kita seharusnya sedar bahawa manamana
agama terdiri daripada dua komponen yang berkait rapat iaitu doktrin dan
ritus.

Doktrin merujuk kepada ajaran, falsafah dan ideologi sesuatu agama. Apakah
sumber bagi ajaran-ajaran agama ini? Doktrin banyak bersumberkan kitab-kitab
suci seperti al-Quran, kitab Injil, kitab Taurat, Bhagavad Gita dan sebagainya.
Kitab-kitab suci ini merakam wahyu, buah fikiran serta kod etika para rasul,
nabi, santo, perawi dan sesiapa sahaja yang dipercayai mempunyai akses kepada
dunia kudus. Mereka ini menyebarkan doktrin yang menjadi asas kepada
moraliti dan etika sosial, menjelaskan asal-usul kejadian manusia, serta
menegaskan balasan yang setimpal dengan apa yang dikerjakan.
Ritus pula menggariskan tatacara bagaimana agama itu diberikan wadahnya menzahirkan ajaran agama melalui perbuatan yang simbolik. Jika doktrin
adalah sesuatu yang kita tidak nampak, tetapi ritus dapat disaksikan dengan
mata kasar. Ritus adalah religion in action.
Oleh itu, ritus sering berkisar di sekeliling simbol-simbol agama. Sebagai contoh,
rukun Islam kelima menganjurkan umat Islam untuk menunaikan haji di Mekah
sekiranya mampu. Antara ritus yang harus dilakukan ketika menunaikan haji ialah
tawaf mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali. Kaabah merupakan simbol kesatuan
umat Islam seluruh dunia, manakala ritus tawaf membawa maksud simbolik. Tawaf
melambangkan kehidupan umat Islam yang seharusnya berteraskan konsep tauhid
iaitu sentiasa mengingati dan mengesakan Allah s.w.t.

Perantara dan Pengikut
Ritus dan doktrin tidak mampu bertahan tanpa kerjasama manusia. Dalam
membincangkan mana-mana organisasi agama, adalah jelas bahawa sudah tentu
adanya hirarki sosial yang menentukan kedudukan masing-masing. Manusia ini
macam-macam: ada yang cenderung memimpin, ada yang lebih rela mengikut.
Di sini, kita dapat lihat bahawa struktur sosial agama secara lumrahnya terdiri
daripada perantara dan pengikut.
Perantara merupakan golongan agamawan yang menduduki hirarki yang tinggi
dan istimewa dalam upacara keagamaan. Mereka ini merupakan pakar ritus (ritual
specialist) yang sentiasa dirujuk oleh para pengikut kerana mereka dianggap
mempunyai ilmu agama dan seterusnya layak mengetuai upacara keagamaan.
Mereka ini dihormati kerana mereka memainkan peranan penting sebagai
penterjemah dan penghurai ajaran suci. Mereka ini juga kadangkala merombak dan
mengubahsuai doktrin asal dan seterusnya mengasaskan mazhab agama yang baru
seperti yang berlaku semasa Reformasi di Eropah. Ketokohan agama kadangkala
mendukung mereka menjadi pemimpin berkarisma dan tidak mustahil bagi
seseorang perantara dinobatkan menjadi wali, santo atau keramat oleh pengikutpengikutnya,
seperti yang berlaku kepada Mother Teresa (sila lihat Rajah 4.11).
dalam bentuk yang telah ditentukan. Ritus merupakan ekspresi luaran yang

Pengikut pula merupakan orang kebanyakan yang menurut ajaran atau doktrin
yang dibawa oleh seseorang perantara. Walaupun perantara dilihat sebagai
ÂakalÊ yang banyak menghasilkan ajaran dan doktrin, pengikut juga memainkan
peranan penting sebagai ÂbadanÊ yang menggerakkan dan melestarikan sesuatu
agama. Hubungan di antara perantara dan pengikut sebenarnya merupakan
hubungan timbal balik. Perantara mampu menuturkan visi dan ideal tentang
kebenaran dengan sungguh meyakinkan; pengikut pula memang mendahagakan
bimbingan dan panduan daripada seorang perantara kerana mereka tidak
mampu memikirkan halatuju kehidupan dengan sendiri.

Kerana terdapatnya ramai manusia yang mendakwa diri mereka sebagai perantara, maka
timbullah pelbagai jenis kelompok dan pecahan dalam agama. Misalnya, Reformasi di Eropah berpunca daripada Martin Luther (sila lihat Rajah 4.12) yang tidak bersetuju dengan amalan indulgence yang diamalkan oleh gereja Roman Katolik. Beliau dan pengikutnya berpecah daripada gereja Roman Katolik dan seterusnya menubuhkan
gereja Protestan. Tindakan beliau sekaligus memecahkan pengikut-pengikut Kristian kepada dua mazhab yang besar.

Perkara ini juga berlaku dalam dunia Islam di mana terdapat dua mazhab besar
yang tidak sependapat iaitu Sunni dan Shiah. Masalah berlaku apabila pengikutpengikut
yang keterlaluan dan fanatik tidak mampu lagi dikawal oleh perantara.

FUNGSI AGAMA

Setakat ini, perbincangan kita telah banyak berkisar tentang struktur agama.
Seterusnya, kita akan menghuraikan pula fungsi-fungsi agama kepada individu
dan masyarakat. Antara fungsi-fungsi agama termasuklah:
(a) Mengeratkan kesepaduan sosial dalam masyarakat
(b) Menjadi alat kawalan sosial
(c) Menjadi alat untuk pendidikan
(d) Menjadi sumber kosmologi sesuatu masyarakat
(e) Menghuraikan ketidakpastian

Kesepaduan Sosial

Emile Durkheim berpendapat bahawa agama memenuhi kehendak sosial lebih
daripada kehendak psikologi. Menurut beliau, masyarakat adalah perkara yang
menjadi sasaran sebenar yang dipuja dalam agama. Melalui agama, manusia
mendapat tempat dalam masyarakat. Ini kerana agama membangkitkan
semangat komuniti dalam dirinya sebagai ummah kepada satu kumpulan sosial
yang mempunyai kepentingan bersama. Dalam ertikata lain, agama berperanan
mengeratkan kesepaduan sosial (social solidarity) di antara ahli-ahli masyarakat.
Durkheim berpandangan bahawa penyertaan dalam ritus membangkitkan
kesepaduan sosial, sekaligus melestarikan sesuatu masyarakat. Ritus
mencerminkan struktur sosial, kerana melalui ritus, hubungan dan peranan
sosial setiap orang dalam masyarakat dapat dilihat dengan jelas. Ritus
membayangkan hirarki dan susun lapis kuasa dalam sesuatu masyarakat.
Sebagai contoh, cuba anda perhatikan kedudukan saf dalam sembahyang atau
solat berjemaah (sila lihat Rajah 4.13). Imam mengepalai sembahyang sementara
makmum lelaki yang dewasa mengikut pergerakannya di belakang. Saf untuk
kanak-kanak lelaki berada di belakang saf orang lelaki dewasa, sementara saf
untuk orang perempuan terletak di belakang sekali. Aturan saf untuk sembahyang
jemaah banyak memberitahu kita tentang struktur sosial masyarakat Islam,
terutama tentang adab pergaulan antara jantina yang berbeza.
Ini selalunya berakhir dengan pertumpahan darah yang sia-sia, kononnya atas
nama Tuhan dan agama.

Kawalan Sosial
Di samping menggariskan struktur sosial dalam sesuatu masyarakat, agama juga
memainkan peranan sebagai alat kawalan sosial. Agama sering menekankan
peraturan moral (moral order) yang mengawal tingkah laku manusia. Peraturan
moral ini berasaskan pertentangan di antara unsur-unsur baik dan jahat. Dalam
Islam, terdapat konsep amar makruf nahi mungkar iaitu menyeru ke arah
kebaikan dan menegah kemungkaran. Tiada agama di dunia ini yang
menganjurkan kejahatan dan melarang kita berbuat baik. Ini adalah bertujuan
untuk memastikan masyarakat sentiasa berada dalam keadaan harmoni dan
mengelakkan kacau-bilau daripada berleluasa. Sesiapa yang melakukan
kebaikan akan mendapat ganjaran atau pahala manakala kejahatan akan
dihukum tuhan dan dibalas dengan dosa.

Sebagai contoh, agama Islam menegah kelakuan mencuri kerana ini mencabuli harta
persendirian seseorang individu. Kes kecurian ditangani di negara-negara Islam
menurut hukum hudud dengan hukuman potong tangan. Walaupun perkara ini
bulat-bulat disangkal oleh masyarakat dunia, statistik menunjukkan bahawa negara
yang mengamalkan hukum hudud mempunyai kadar jenayah yang lebih rendah
berbanding dengan negara yang tidak mengamalkannya. Ini kerana hukum hudud
bukanlah bertujuan menyakiti penjenayah semata-mata, tetapi matlamatnya adalah
untuk mengingatkan masyarakat bahawa kejahatan akan dibalas dengan kejahatan.
Hukum hudud dilakukan secara terbuka di khalayak umum supaya orang ramai
mengambil iktibar dan tidak terjebak ke dalam kemungkaran. Dengan ini, agama
berjaya menjadi alat untuk kawalan sosial.

Pendidikan

Agama juga memainkan peranan sebagai alat untuk pendidikan. Anda masih
ingat konsep pembudayaan (enculturation) daripada Topik 1? Dalam konteks
ini, agama menyediakan individu untuk melalui perubahan-perubahan dalam kehidupannya melalui ritus peralihan (rites of passage). Konsep ini
dipopularkan oleh Arnold van Gennep (sila lihat Rajah 4.14) dan merujuk
kepada ritus yang melibatkan perubahan status, misalnya kelahiran,
perkahwinan, dan kematian. Ritus peralihan dilakukan untuk memberikan
pengiktirafan kepada tahap peralihan dalam hidup manusia. Pada masa yang
sama, ritus ini turut menurunkan ilmu yang diperlukan untuk memastikan
kelangsungan sesuatu kumpulan.

Kosmologi
Selain menyediakan model sosial untuk tujuan pendidikan, kawalan sosial dan
menyepadukan masyarakat, agama juga mengambil pandangan yang lebih luas
dengan menyediakan model semesta yang menjelaskan kejadian manusia dan
alam. Model semesta ini dipanggil kosmologi. Setiap budaya mempunyai
kosmologinya yang tersendiri. Kosmologi menjelaskan siapakah penghuni alam
ini dan menghuraikan bagaimana alam ini dicipta dan diatur.

Sebagai contoh, mari kita kaji kosmologi menurut perspektif Islam. Menurut Islam, alam ini dicipta oleh Allah s.w.t (sila lihat Rajah 4.15). Alam ini terdiri daripada alam nyata dan juga alam ghaib yang meliputi syurga dan neraka. Manusia dicipta
oleh Allah s.w.t untuk mengenali Penciptanya dan alam ini dijadikan medan ujian untuk menentukan siapakah antara hamba-hambanya yang benar-benar menyembahnya. Selain manusia, Allah s.w.t juga mencipta makhluk-makhluk lain seperti jin,
syaitan dan malaikat. Masing-masing memainkan peranannya menurut peraturan alam yang sudah ditetapkan oleh Allah s.w.t.

Menghuraikan Ketidakpastian
Alam ini penuh dengan perkara-perkara yang tidak pasti dan di luar kawalan
kita. Keadaan yang tak diduga menimbulkan masalah pemikiran dan
mengganggu ketenteraman jiwa kita. Malapetaka dan kemalangan sering
menghantui hari-hari kita, walau bagaimana maju sekalipun manusia itu.
Malinowski sendiri mengakui bahawa semua masyarakat menghadapi risiko dan
keadaan tidak pasti walaupun mereka mempunyai teknologi dan peralatan.
Agama menyediakan jawapan kepada permasalahan kehidupan kita melalui
ajaran-ajarannya yang terkandung dalam kitab-kitab suci. Sebijak mana manusia
itu sekalipun, dia tidak boleh mengharungi kehidupan yang penuh
ketidakpastian ini tanpa bimbingan agama. Manusia merancang, tetapi tuhan
yang menentukan.

MAGIS DAN AJARAN SESAT (CULT)

Setakat ini, kita telah membincangkan tentang agama melalui perspektif
mainstream yang mengetengahkan agama-agama dunia seperti Islam dan
Kristian. Walaupun majoriti penduduk dunia menganuti agama mainstream,
tetapi ada juga segelintir yang berpegang kepada agama-agama alternatif seperti
magis dan ajaran sesat.

Magis
Magis boleh didefinisikan sebagai usaha yang dilakukan bagi menggunakan
kuasa supernatural atau semangat untuk mencapai sesuatu matlamat melalui
perlakuan yang telah ditetapkan. Menurut Malinowski, magis membantu dalam
keadaan di mana teknologi tidak mencukupi untuk menghasilkan sesuatu
maksud. Magis memerlukan campurtangan Âbantuan luarÊ untuk mencapai
hasrat yang diminta. Ini akan mengurangkan rasa gelisah dan rasa tidak yakin
sewaktu melakukan sesuatu tindakan.
Magis bukanlah amalan dalam masyarakat primitif sahaja. Magis juga menjadi
amalan dalam masyarakat moden dalam bentuk good luck charms, bawang
putih, nombor 13 dan sebagainya.
Magis diamalkan oleh perantara magis yang dilatih khas sama ada dengan
menuntut ilmu magis atau melalui keturunan, misalnya bomoh, pawang, dukun,
shaman atau medium. Kadangkala, mereka ini mendapat mandat untuk
mengamalkan magis melalui mimpi. Terdapat pelbagai jenis magis seperti:
(a) Magis pelindung
Juga dikenali sebagai protective magic. Bertujuan untuk mendapat
perlindungan daripada bahaya dan malapetaka, biasanya dalam bentuk
tangkal, azimat dan pendinding.
(b) Magis pemusnah
Juga dikenali sebagai magis hitam (black magic). Bertujuan menyakiti
sasaran atau memintanya ditimpa bencana, misalnya santau dan voodoo
(sila lihat Rajah 4.16). Selalunya memerlukan bahan-bahan seperti rambut,
jarum, patung, darah atau kotoran manusia.
(c) Magis penawar
Juga dikenali sebagai magis murni (white magic). Bertujuan merawat
penyakit atau mengubati pesakit yang Âdibuat orang.Ê

Ajaran Sesat (Cult)
Ajaran sesat merujuk kepada mana-mana kumpulan agama yang tidak diiktiraf
oleh masyarakat. Ini kerana kumpulan-kumpulan ini dianggap membawa ajaran
yang telah terpesong daripada akidah arus perdana atau mainstream. Biasanya
kumpulan-kumpulan ini akan mempermudahkan atau menolak terus amalanamalan
agama arus perdana. Misalnya, ada ajaran sesat yang menyatakan
bahawa kita tidak perlu sembahyang lima waktu, cukuplah sekadar berpegang
kepada kepercayaan bahawa Allah s.w.t itu tuhan yang satu. Ada juga yang ratarata
menolak hadis sebagai sumber pengetahuan Islam yang sah. Pada masa
yang sama, kumpulan-kumpulan ini juga akan menggalakkan perlakuan yang
terkeluar dari garisan umum agama arus perdana, misalnya berzikir dan
berwirid dalam gelap, bercampur gaul lelaki dan perempuan yang akhirnya
membawa kepada hubungan seks bebas.

Kumpulan ajaran sesat biasanya diketuai oleh seorang perantara yang karismatik
dan dianggap pesuruh tuhan di muka bumi. Ahli antroplogi menamakan ajaran
ini sebagai satu bentuk cult. Di Malaysia kebelakangan ini, Ayah Pin telah muncul
sebagai salah seorang ketua ajaran sesat yang mahsyur dengan ajaran Kerajaan
Langitnya (sila lihat Rajah 4.17). Menurut ajaran tersebut, Ayah Pin merupakan
kelahiran semula Nabi Muhammad, Nabi Isa, Buddha, dan Dewa Siva, dan satu
hari nanti akan kembali sebagai Imam Mahdi. Simbol Kerajaan Langit yang paling
menonjol ialah teko gergasi yang melambangkan air suci yang mencurah-curah
dari langit. Adakah anda sanggup minum teh dengan Ayah Pin?

No comments:

Post a Comment