Wednesday, December 14, 2011

Topik 3 Sistem Pengeluaran

PEMBAHAGIAN TUGAS DALAM MASYARAKAT
Anda sudah membawa bahan mentah pulang ke rumah. Bahan tersebut
diperolehi sama ada dengan menggunakan senjata primitif atau senjata moden.
Siapa pula yang akan memproses bahan tersebut menjadi sajian untuk keluarga
anda? Dalam mana-mana masyarakat, sama ada primitif atau moden, anda akan
dapati adanya pembahagian tugas (division of labour). Setiap masyarakat perlu
menentukan siapa yang bertanggungjawab melakukan tugas apa. Terdapat
beberapa tahap pembahagian tugas:
(a) Pengkhususan jantina
(b) Pengkhususan umur
(c) Pengkhususan peranan

Pengkhususan Jantina
Dalam antropologi, terdapat perbezaan yang nyata di antara tugas-tugas yang
dilakukan oleh lelaki dan wanita. Lazimnya, lelaki membuat kerja-kerja di luar
rumah manakala wanita membuat kerja-kerja di dalam rumah (sila lihat Jadual
3.1). Walaubagaimanapun, ini cuma satu kenyataan yang umum (generalisation).
Ada saja pengecualian yang boleh difikirkan untuk menolak konsep
pengkhususan jantina: ada lelaki yang suka menjadi suri rumah (househusband
seperti dalam Rajah 3.4) dan ada juga wanita yang berjaya membina kerjaya
(career woman seperti dalam Rajah 3.5) dalam bidang yang dimonopoli oleh
kaum lelaki. Tetapi tidak dapat dinafikan bahawa jika dilihat secara keseluruhan,
pengkhususan jantina seperti dalam Jadual 3.1 dapat diperhatikan dalam
kebanyakan masyarakat di seluruh dunia.

Terdapat tiga teori yang cuba menjelaskan mengapa adanya pengkhususan
jantina dalam pembahagian tugas:
(a) Lelaki mempunyai tubuh badan dan kekuatan fizikal yang membolehkan
mereka melakukan kerja-kerja berat seperti memburu, berperang, dan
menebas menebang untuk bercucuk tanam.
(b) Wanita melakukan kerja-kerja di dalam rumah kerana ia selari dengan
tugas penjagaan kanak-kanak. Tugas-tugas lelaki agak berat dan berbahaya
dan jika dilakukan oleh wanita, ia boleh membahayakan kanak-kanak di
bawah jagaannya.
(c) Dari segi reproduksi, lelaki boleh dikorbankan berbanding dengan wanita.
Wanita tidak boleh diletakkan dalam bahaya kerana jika mereka pupus,
siapakah yang akan melahirkan anak? Jika ada lelaki yang terkorban ketika
memburu atau berperang, ini tidak akan menjejaskan fungsi reproduksi
selagi mana wanita mempunyai akses kepada lelaki. Jadi jika anda seorang
lelaki, pastikan anda tidak terkorban kerana wanita anda mungkin akan
menjadi milik orang lain!

Pengkhususan Umur

Pembahagian tugas juga dikhususkan mengikut kategori umur. Kanak-kanak
biasanya dikecualikan daripada tugas-tugas orang dewasa kerana mereka
kurang kekuatan fizikal dan ilmu pengetahuan. Sebaliknya, kanak-kanak akan
dihantar ke sekolah untuk menimba ilmu sehinggalah ke menara gading.
Dengan berbekalkan ijazah dan ilmu pengetahuan, ibu bapa akan berasa senang
melihat anak-anak mereka mendapat peluang untuk melanjutkan pelajaran
kerana ijazah menjanjikan pekerjaan yang baik. Kerana ini, kanak-kanak tidak
diharap bekerja dan membantu ibu bapa; sebaliknya, mereka diingatkan supaya
belajar rajin-rajin demi masa depan yang gemilang.
Tetapi bukan semua kanak-kanak yang dilayan sebegini. Di negara-negara yang
membangun, berlakunya penindasan terhadap golongan pekerja kanak-kanak.
Situasi ini dipanggil sweatshop (sila lihat Rajah 3.6) iaitu suasana pekerjaan yang
boleh dianggap sukar dan berbahaya di mana pekerja-pekerjanya dipergunakan
dan tidak mempunyai peluang untuk memperbaiki keadaan mereka. Ini
biasanya melibatkan bahan-bahan berbahaya, suhu-suhu melampau, dan
majikan yang mendera. Kanak-kanak di negara-negara seperti Bangladesh dan
Nepal dipaksa bekerja berjam-jam dan dibayar gaji yang amat sedikit, sekaligus
melanggar undang-undang pekerjaan berkenaan gaji minima (minimum wage)
dan kerja lebih masa (overtime).Manusia tidak mungkin sentiasa muda. Satu hari nanti, semua orang akan
mengalami umur tua. Kerana orang tua sudah tidak sekuat dulu, mereka tidak
digalakkan melakukan tugas-tugas berat yang lebih sesuai dilakukan oleh orang
muda. Misalnya, dalam masyarakat primitif, mereka tidak lagi memburu tetapi
mereka menyumbang dengan membuat senjata dan peralatan. Lazimnya,
mereka juga memainkan peranan keagamaan dan menjadi perunding dan
sejarawan masyarakat berdasarkan pengalaman dan kebijaksanaan mereka.
Walaubagaimanapun, warga tua di Barat seringkali hilang kedudukan dan status
selepas mereka bersara

Pengkhususan Peranan
Apabila sistem pengeluaran masyarakat semakin berkembang, lebih ramai orang
dibebaskan daripada tugas mencari dan memproses makanan. Kemajuan
teknologi membolehkan ramai orang memainkan peranan yang lebih khusus
dalam masyarakat. Tidak seperti orang primitif, kita mempunyai jawatan
tertentu yang harus dipikul dan tiada masa untuk memburu makanan. Sampaisampai
saja ke rumah, kita tahu makanan sudah terhidang di atas meja.

Suatu masa dahulu, situasi tidak seperti yang dialami sekarang. Adakah anda
masih ingat nama Emile Durkheim? Beliau membuat kajian berkenaan asas
kesepaduan sosial dalam masyarakat primitif dan masyarakat moden.
Menurutnya, masyarakat primitif mengamalkan kesepaduan mekanikal di mana
ahli-ahli masyarakat memainkan peranan yang sama, merasakan diri mereka
setara dari segi sosial, dan mengamalkan nilai-nilai tradisi dan kekeluargaan.
Kesepaduan lahir daripada perasaan bahawa ahli-ahli masyarakat melalui
kehidupan dan pengalaman yang serupa.

Kemunculan masyarakat moden menyaksikan perubahan daripada kesepaduan
mekanikal kepada kesepaduan organik yang lebih berasaskan pengkhususan
peranan dan saling kebergantungan. Ini kerana apabila masyarakat menjadi
semakin kompleks, tidak mungkin mana-mana satu ahli masyarakat mempunyai
segala kemahiran yang diperlukan untuk menguruskan kehidupannya dengan lancar. Misalnya, anda seorang guru di sekolah (sila lihat Rajah 3.8). Anda
mempunyai kepakaran mengajar dan mendidik tetapi mungkin anda tidak
begitu mahir membaiki kereta. Anda mesti menghantar kereta ke bengkel untuk
dibela oleh mekanik (sila lihat Rajah 3.9). Mekanik itu sudah tentu lebih arif
daripada anda tentang kereta, tetapi mungkin dia mempunyai anak-anak kecil
yang perlu belajar membaca, menulis dan mengira. Mekanik itu akan
menghantar anak-anaknya ke sekolah untuk diajar oleh guru-guru seperti anda.
Kesepaduan organik memastikan bahawa ahli-ahli masyarakat memenuhi
keperluan antara satu sama lain mengikut kemahiran masing-masing. Kita saling
bergantungan sesama sendiri.

SISTEM-SISTEM PENGELUARAN
Kita sudah maklum bahawa terdapatnya pembahagian tugas dalam masyarakat.
Sekarang tiba masanya untuk mengkaji sistem-sistem pengeluaran yang berbeza
berdasarkan kaedah mendapat dan memproses makanan. Kita boleh
mengkategorikan sistem-sistem pengeluaran kepada lima jenis:
(a) Memburu dan meramu (hunting and gathering)
(b) Hortikultur
(c) Pastoralisme
(d) Agrikultur
(e) Industrialisasi

Memburu dan Meramu

Memburu dan meramu melibatkan aktiviti-aktiviti seperti memburu binatang,
mengumpul hasil tumbuhan dan menangkap ikan. Manusia yang terawal dalam
sejarah mengumpul makanan dan sehingga hari ini masih terdapat beberapa
masyarakat seperti Ju/Ɗhoansi dan Inuit (sila lihat Rajah 3.10) yang masih
mengumpul makanan. Secara kasarnya, masyarakat pengumpul makanan sering
digambarkan sebagai masyarakat yang kurang canggih dan kompleks
berbanding dengan masyarakat moden. Berikut dijelaskan ciri-ciri masyarakat
pengumpul makanan:

(a) Populasi yang kecil
Ini disebabkan mengumpul makanan tidak mungkin membawa hasil yang
banyak. Pengumpul makanan biasanya tidak menyimpan makanan mereka
untuk jangka masa yang panjang. Jikapun mampu untuk mengumpul
makanan dengan banyak, lambat-laun ini akan memusnahkan sumber
makanan mereka. Kesimpulannya, tanpa simpanan makanan yang banyak,
populasi kurang berkembang.
(b) Berpindah-randah (nomadic)
Pengumpul makanan haruslah berpindah-randah untuk mengikuti buruan
mereka. Kehidupan mereka berkisar kepada pola penghijrahan buruan,
sebab itulah mereka tidak menetap di mana-mana tempat untuk jangka
masa yang lama.
(c) Keluarga merupakan unit sosial yang asas
Masyarakat pengumpul makanan terdiri daripada pakatan antara
keluarga-keluarga yang bekerjasama untuk memburu binatang dan
meramu. Keluarga bersifat egalitarian dan tidak mementingkan pembezaan
sosial yang ketara seperti masyarakat moden.
(d) Dijumpai di kawasan-kawasan terpencil
Pengumpul makanan sudah biasa berburu dan meramu di kawasankawasan
terpencil seperti gurun dan tundra. Dengan peralatan dan senjata
yang mudah, mereka mampu mendapat makanan yang cukup walaupun
berada di persekitaran yang sukar dan mencabar.

Hortikultur
Revolusi neolitik menandakan perubahan daripada masyarakat yang
mengumpul makanan kepada masyarakat yang mengeluarkan makanan.
Revolusi neolitik mempunyai impak budaya yang agak besar kepada
perkembangan tamadun manusia:
(a) Ledakan populasi
Apabila masyarakat berjaya mengeluarkan makanan sendiri dengan
banyak, maka lebih ramai manusia dapat ditampung pada suatu masa.
(b) Tempat tinggal yang tetap
Masyarakat pengeluar makanan lebih terikat kepada tanah mereka
berbanding dengan masyarakat pengumpul makanan. Mereka harus
menetap di sesuatu tempat untuk jangka masa yang lama untuk
mengusahakan tanah sehingga hasilnya berbuah.
(d) Pengkhususan peranan
Apabila sistem pengeluaran makanan semakin maju, hanya segelintir ahli
masyarakat sahaja yang diperlukan untuk menyediakan makanan untuk
keseluruhan masyarakat. Mereka yang lain bebas untuk memainkan
peranan-peranan lain dalam masyarakat dan ini membawa kepada
kesepaduan organik menurut Durkheim.

Hortikultur merupakan antara sistem pengeluaran makanan yang terawal di
dunia. Hortikultur merupakan kegiatan menanam tumbuhan menggunakan
peralatan mudah (seperti cangkul) dan kawasan tanah yang kecil. Hanya tenaga
manusia digunakan dalam hortikultur; binatang, jentera, dan sistem pengairan
tidak diperlukan.

Teknik yang selalu digunakan dalam hortikultur ialah pertanian pindah randah
(shifting cultivation) di mana hutan dibersihkan dan dibakar (sila lihat Rajah
3.11). Abu menjadi baja dan tumbuh-tumbuhan ditanam. Teknik ini
mengakibatkan tanah hilang kesuburan selepas setahun dua, dan jika ini
berlaku, petani akan berpindah ke tapak yang lain. Tanah yang ditinggalkan
akan ditumbuhi belukar. Pertanian pindah randah diamalkan di negara-negara
seperti Indonesia, Thailand, Filipina, Zambia dan lain-lain.

Pastoralisme
Pastoralisme merujuk kepada penternakan haiwan (lembu, kambing, biri-biri)
sebagai sumber makanan (susu, daging). Penternak haiwan harus memastikan
haiwan ternakan mereka dapat merumput dengan secukupnya. Oleh itu, pola
kehidupan mereka masih berpindah-randah kerana mereka harus mencari
kawasan ragut (pasture) yang baru untuk haiwan ternakan mereka mengikut
musim. Masyarakat pastoral tidak semestinya bergantung sepenuhnya kepada
haiwan ternakan; mereka juga mendapat makanan melalui tanam-tanaman dan
berdagang dengan kumpulan-kumpulan lain. Tetapi pada asasnya, sumber
utama makanan untuk masyarakat pastoral ialah daripada haiwan ternakan.

Oleh sebab itu, haiwan-haiwan seperti lembu mempunyai kepentingan dan
makna sosial yang tersendiri dalam masyarakat pastoral. Lembu bukan sahaja
dianggap sumber makanan, malahan ia turut boleh dijadikan mas kahwin, dan
haiwan tebusan atau korban untuk upacara keagamaan. Dalam erti kata lain,
fungsi sosial haiwan ternakan banyak bersilang dengan institusi-institusi sosial
lain seperti perkahwinan, agama dan sistem status. Lembu adalah juga simbol
status dalam sesetengah masyarakat tradisional, samalah seperti mempunyai
kereta Lamborghini atau Porsche dalam masyarakat moden dan industri.

Agrikultur
Agrikultur berbeza dengan hortikultur kerana ia amat bergantung kepada tenaga
haiwan dan teknologi (sila lihat Rajah 3.13). Tidak seperti hortikultur, agrikultur
banyak menggunakan teknologi seperti bajak yang ditarik oleh haiwan, baja,
sistem pengairan dan jentera moden. Teknologi canggih di sini memastikan
bahawa pengusaha agrikultur mendapat hasil yang berlipat kali ganda
berbanding dengan petani yang terlibat dengan hortikultur.
Walaubagaimanapun, produktiviti yang tinggi ini memerlukan pelaburan yang
besar dari segi tenaga kerja dan modal. Agrikultur merupakan antara faktor
yang membolehkan tamadun berkembang, kerana ia membawa kepada
perubahan-perubahan berikut:
(a) Penubuhan bandar
Agrikultur memerlukan masyarakat menetap di suatu kawasan untuk
jangka masa yang panjang. Ini seterusnya membawa kepada penubuhan
bandar yang menjadi pusat tamadun.
(b) Sistem pengeluaran makanan yang efisien
Dengan berkembangnya teknologi, lebih banyak makanan boleh dihasilkan
untuk menampung populasi yang kian bertambah. Jumlah penduduk yang
ramai menjadi asas kepada perkembangan tamadun yang kuat.
(d) Pengkhususan peranan
Seperti yang telah dibincangkan sebelum ini, apabila wujudnya kelas sosial
yang bertugas mengeluarkan makanan secara khusus, ini membolehkan
orang lain memikul peranan yang berbeza-beza. Stratifikasi sosial yang
berlaku ini juga merupakan antara ciri-ciri tamadun yang berkembang pesat.
Kelas sosial yang bertanggungjawab menghasilkan makanan untuk masyarakat
dipanggil kaum tani (peasantry). Mereka ini merupakan majoriti dalam sesuatu
masyarakat dan terikat kepada negara melalui institusi-institusi politik, agama
dan ekonomi. Mereka menawarkan lebihan hasil agrikultur kepada negara,
manakala negara membekalkan mereka dengan barangan yang mereka
perlukan. Di sini, kita diingatkan bahawa walaupun mereka membekalkan
makanan kepada masyarakat, tetapi status sosial mereka amat rendah, mereka
tiada kuasa politik, dan pemilikan harta di kalangan mereka amat sedikit
berbanding dengan golongan atasan. Adakah situasi sosial ini adil? Anda
fikirkan sendiri.

Industrialisasi
Seperti yang telah dibincangkan sebelum ini, revolusi neolitik telah mengubah cara
hidup masyarakat manusia secara mendalam. Revolusi industri membawa satu era
baru dalam sejarah pengeluaran makanan. Industrialisasi banyak bergantung
kepada teknologi moden (seperti kincir angin, kincir air, traktor, baja kimia)
berbanding tenaga manusia atau haiwan. Penggunaan teknologi moden secara
meluas ini telah melipatgandakan hasil pengeluaran petani. Daripada bertani untuk
tujuan sara diri, petani moden boleh menjual lebihan hasil agrikultur mereka untuk
tujuan komersial. Tetapi pada masa yang sama, teknologi moden melibatkan kos
yang amat tinggi.

Contoh yang terbaik untuk menggambarkan penglibatan teknologi moden dalam
pertanian ialah penggunaan sistem penentu kedudukan global atau lebih dikenali
umum sebagai GPS (global positioning system). Teknologi ini membolehkan
penentuan kedudukan, masa, dan arah dengan tepat dalam masa nyata (real time).
Ini bermakna petani boleh mengawasi ukuran berkenaan air, tanah dan hasil

ISU-ISU ALAM SEKITAR
Sistem-sistem pengeluaran makanan yang dijelaskan setakat ini banyak
menyumbang kepada kelangsungan masyarakat. Tetapi perlu diingat bahawa
kadangkala sistem-sistem ini mempunyai kesan negatif kepada alam sekitar.
Dalam mencari rezeki di atas muka bumi ini, adakah manusia bertanggungjawab
terhadap ekologi ataupun menyumbang kepada kerosakan alam?
Perladangan secara komersial memerlukan pembersihan kawasan hutan yang luas
yang akan merosakkan ekologi tempatan. Penternakan haiwan secara intensif
seperti ladang ayam dan babi boleh menghasilkan pencemaran dari segi sisa
buangan najis haiwan berkenaan. Penggunaan racun rumpai yang tidak terkawal
telah banyak menjejaskan sumber air yang bersih untuk kegunaan manusia.

Pertanian pindah randah dikritik kerana ia mengancam biodiversiti (kekayaan
spesies hidupan) dalam hutan. Dalam keadaan yang normal, teknik ini
memusnahkan kawasan hutan dan padang rumput yang luas. Tetapi
semenjak fenomena El Nino melanda dunia, api yang dimulakan untuk tujuan
pertanian pindah randah telah mula merebak di luar kawalan. Bandar-bandar
utama di Asia Tenggara telah mengalami jerebu yang teruk kerana kebakaran
yang tidak terkawal di Sarawak dan Kalimantan (sila lihat Rajah 3.15). Dalam
keadaan kemarau berpanjangan yangdisebabkan oleh El Nino, banyak perkara
negatif berlaku kepada ekologi: spesiesspesies pokok langsung pupus, binatang
liar tersesar daripada habitatnya, dan kadar hakisan tanah meningkat.

Sebenarnya, banyak lagi isu-isu alam sekitar yang boleh diperhatikan akibat
daripada sikap manusia yang tidak bertanggungjawab:
(a) Pencemaran air akibat racun serangga perosak
(b) Ikan di laut semakin berkurangan kerana perikanan komersial berskala besar
(c) Hasil tanaman yang diubahsuai secara genetik boleh menggugat kesihatan
manusia

No comments:

Post a Comment