Tuesday, December 13, 2011

Topik 1 KONSEP PENDIDIKAN SENI VISUAL

PENGERTIAN PENDIDIKAN SENI VISUAL
Dalam Pendidikan Seni Visual sekolah rendah, anda patut lebih menegaskan
kegiatan dalam proses penghasilan karya seni dengan melibatkan aspek pemahaman,
penghayatan dan kritikan. Dalam proses ini, anda boleh menyentuh mengenai
perasaan estetik dan daya kreativiti individu melalui penajaman daya intuisi,
persepsi, imaginasi dan konsepsi murid. Dengan ini, murid anda dapat mengamalkan
pertimbangan seni visual, meningkatkan lagi kepekaan, menjadi pengkarya yang
rasional dan mampu mengendalikan kehidupan dengan membawa bersama nilai
yang disebutkan.

Kurikulum Pendidikan Seni Visual sekolah rendah merangkumi empat bidang
iaitu:
(a) menggambar;
(b) membuat rekaan dan corak;
(c) membentuk dan membuat binaan; dan
(d) kraf tradisional.
Anda boleh melatih murid anda untuk melihat sesuatu dengan perspektif yang lebih
luas sama ada daripada aspek estetik mahupun aspek gunaan. Melalui kefahaman
aspek di atas, murid anda dapat menerap penghayatan warisan seni visual dan
mengamalkannya dalam kehidupan seharian, terutamanya dalam meningkatkan
nilai hidup. Murid anda akan didedahkan dengan ilmu seni visual yang berkaitan
dengan bidang tertentu dan menerapkan budaya menghargai serta mengaplikasi
ilmu yang diperolehi bersama.

MATLAMAT PENDIDIKAN SENI VISUAL

Matlamat Pendidikan Seni Visual sekolah rendah adalah untuk membentuk
keperibadian generasi Malaysia yang celik budaya, mempunyai nilai-nilai estetik
yang tinggi, imaginatif, kritis, kreatif, inovatif dan inventif. Kandungan kurikulum
berupaya membantu murid anda meningkatkan rasa kesyukuran terhadap Tuhan,
menghargai keindahan alam persekitaran, keindahan seni dan warisan bangsa serta
dapat menyumbang ke arah pembangunan diri, keluarga, masyarakat dan negara,
selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaaan.

OBJEKTIF PENDIDIKAN SENI VISUAL
Selepas melalui Pendidikan Seni Visual di sekolah rendah, murid anda seharusnya
dapat:
(a) Menunjukkan penghargaan terhadap keindahan alam ciptaan Tuhan;
(b) Memupuk budaya penyelidikan dalam proses penghasilan karya seni visual;
(c) Meningkatkan pengetahuan, daya kreativiti, inovasi, disiplin serta kemahiran
dalam bidang seni visual yang dapat diamalkan dalam kehidupan dan
kerjaya;
(d) Menggunakan pelbagai kemahiran, media, teknik dan teknologi untuk mereka
cipta barangan kraf dan produk seni visual yang berkualiti;
(e) Membuat diskripsi, analisis, interpretasi dan penilaian terhadap karya seni
visual;
(f) Menunjukkan nilai tambah dalam disiplin sains, teknologi dan mata pelajaran
lain;
(g) Menunjukkan penghargaan terhadap sumbangan dan pengaruh tokoh-tokoh
seni visual dalam konteks perkembangan sejarah seni visual di Malaysia dan
antarabangsa;
(h) Menjadikan bidang seni visual sebagai prospek kerjaya;
(i) Menunjukkan kesedaran dan penghargaan terhadap suasana seni dalam
persekitaran dan kaitan dengan keselesaan hidup; dan
(j) Menunjukkan semangat bina jati diri ke arah pembentukan negara bangsa.

Membina Konsep Kendiri Berdasarkan Konsep
Seni Visual Barat
Konsep kendiri mengenai seni visual yang berikut boleh dibina berdasarkan konsep
seni visul barat:
(a) Pendidikan Seni Visual seharusnya membantu dan membentuk daya kreativiti
pelajar.
(b) Ia suatu proses untuk mengekspresikan imaginasi dan luahan perasaan
dalam Seni Visual. Melalui pelbagai teknik yang mereka pelajari, pelajar mula
mengukuhkan sikap kendiri mereka.
(c) Seni seharusnya membantu dan menyedarkan pelajar terhadap warisan budaya
mereka.
(d) Menghargai dan memulihara seni merupakan pertimbangan yang paling ideal
untuk memartabatkan seni visual secara global.
(e) Menghargai dan menyedari semata-mata juga tidak mencukupi kerana melalui
kesedaran ini murid-murid seharusnya semakin kreatif dan produktif.
(f) Jauh lebih penting diperingkat global, ia membentuk sikap JERI (jasmani,
emosi, rohani dan intelek) seperti yang dinyatakan dalam Falsafah Pendidikan
Kebangsaan dan menjadi tunjang utama dalam pemupukan dan pembinaan
insan yang literal mengenai Pendidikan Seni Visual.

PERANAN PENDIDIKAN SENI VISUAL DALAM PERKEMBANGAN KANAK-KANAK
Seringkali masyarakat merasa risau dan takut anak-anak mereka tidak mengenal
huruf atau nombor sebagai asas membaca, menulis dan mengira. Namun, mereka
juga seharusnya bimbang kalau anak-anak mereka tidak dapat melibatkan dan menguasai asas pengamatan tampak menerusi aktiviti seni. Ini akan menghalang
kanak-kanak itu daripada menerima pengalaman tampak yang boleh didapati
menerusi interaksi deria tampak melalui simbol-simbol tampak di sekeliling mereka.
Pendidikan Seni Visual berupaya untuk mengembangkan naluri ingin tahu secara
eksplorasi menerusi deria. Pemikiran kreatif dan kritis akan terus dijana melalui
ekspresi diri mereka.

Menurut Bersoon (1982), galakan yang diberi kepada kanak-kanak menggunakan
deria dan respon emosinya dalam memperolehi pengalaman yang disediakan
menerusi kegiatan seni akan meningkatkan keupayaan kanak-kanak dalam membuat
pengamatan dan penaksiran.

Dalam situasi lain, Eisner (1980) mendapati bahawa kanak-kanak sering berhadapan
dengan masalah menggunakan kemampuannya dalam membuat huraian dan
seterusnya cuba membina suatu konsep yang sempurna. Fenomena ini terjadi ketika
kanak-kanak membuat pengamatan, membuat tafsiran dan tanggapan seterusnya
melahirkan konsep. Ini adalah keupayaan yang amat diperlukan dalam proses
kehidupan mereka.

Feldman (1976) mendapati bahawa melalui Pendidikan Seni Visual, kanak-kanak
dapat meningkatkan kesedaran tentang berlakunya perubahan-perubahan nilai
manusia dari masa ke semasa.

Brown (1980) mendapati bahawa pengalaman kanak-kanak dalam memerhati
ketika melukis atau membuat lakaran dapat meningkatkan kebolehan mereka
dalam pengamatan dan memperkayakan pengetahuannya tentang perbezaanperbezaan
setiap objek atau imej tampak di sekeliling mereka. Jika kanak-kanak
diberi pendedahan kaedah dan teknik yang sempurna, mereka akan berkeupayaan
mengembangkan pemikiran yang kritis.

Akhir sekali, Fuller dan Pribble (1982) dan Ross (1983), mendapati kanak-kanak
boleh belajar dengan baik dalam melahirkan lukisan-lukisan kartun yang berunsur
politik. Contoh ini dapat membuktikan kemampuan kanak-kanak di dalam membuat
keputusan sesuatu karikatur yang sesuai untuk sesuatu idea secara tampak dan
menentukan bagaimana melakar sifat-sifat fizikal imej karikatur dalam usaha
melahirkan pendapatnya.

No comments:

Post a Comment